1. Makanan itu mestilah dari yang halal dan cara memperolehinya juga harus secara halal, menurut petunjuk syariat dan wara’, tidak boleh diusahakan dengan cara yang dilarang di dalam syariat, ataupun dengan cara menurutkan hawa nafsu ataupun dengan cara penipuan. Dan Allah Ta’ala telah pun memerintahkan kita suapa memakan makanan yang baik, yakni secara halal, sebagaimana Dia telah mengutamakan larangan makanan secara batil (haram) daripada larangan membunuh jiwa tanpa hak, iaitu untuk mengeraskan lagi larangan memakan yang haram dan membesarkan keberkatan memakan yang halal. Allah Ta’ala telah berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memakan harta-harta sesama kamu dengan jalan kebatilan, melainkan dengan perniagaan secara sukarela satu sama lain dan janganlah kemu membunuh dirimu” (an-Nisa’: 29)

Maksud yang pertama dari makanan mestilah ia dari yang baik atau yang halal dan ini adalah dikira sebagai kewajiban dan perkara pokok dalam agama.

2. Membasuh tangan sebab tangan ini tidak sunyi dari kotoran kerana seringkali ia digunakan untuk membuat pekerjaan yang berbagai-bagai. Oleh itu membasuh tangan adalah lebih dekat kepada kebersihan dan kesucian.

3. Bila memakan sesuatu makanan, sayugialah diniatkan memakan kerana bertaqwa kepada Allah dan kerana menguatkan badan untuk menjalani ketaatan kepada Allah Ta’ala supaya dengan yang demikian, dia boleh menjadi seorang yang taat pada mengerjakan ibadat. Untuk menjamin niatnya atas dasar ini, hendaklah jangan sampai tangannya mencapai makanan, melainkan setelah benar-benar lapar. Jadi kelaparan yang merupakan satu-satu sebab yang menjadikannya memakan makanan itu. Kemudian hendaklah ia mengangkat tangannya dari makanan itu sebelum benar-benar kenyang. Barangsiapa yang menurut petunjuk ini, niscaya ia tidak perlu lagi kepada pertolongan doktor.

4. Hendaklah ia sentiasa redha dengan makanan yang terhidang di hadapannya, yakni rezeki yang telah dikurniakan oleh Allah kepadanya.

5. Sebaik-baiknya, makanan yang terhidang itu dijamah (dimakan) oleh tangan yang banyak, walauoun dari ahli rumahtangga dan anak-pinak, sebab sebaik-baik makanan ialah yang disentuh oleh tangan yang banyak. Rasulullah s.a.w sendiri tidak pernah memakan sendirian.