Tiada siapa fasih untuk bercakap mengenai kehidupan. Segala jenis kehidupan. Kerana tiada siapa pun boleh mendefinasikan kematian, lawan kehidupan yang boleh memperkenalkan kehidupan itu secara jelas dan kejap. Justeru manusia asyik berbalahan mengemudi kehidupan sendiri, apatah meladeni kehidupan lain di sekelilingnya semenjak dahulu sampailah bila – bila pun.

Kita datang daripada tiada. Daripada kosong, lalu menjadi ada dan hidup. Titik ilmu kita bermula di situ. Kemudian kita akan tiada dan mati, lalu titik ilmu berakhir di situ. Kita menjadi tanah setanah – tanahnya. Kita mati kutu di situ tanpa petunjuk satu pun untuk memperkenalkan kehidupan dan kematian kita yang tercetus sekitar 70 tahun perjalanan masa!

Jika ada manusia perkasa melayarkan enjin dan kuasa otak fikirnya buat meneropong apa yang sebelum air maninya atau apa yang selepas tanahnya, dia pasti akan keluar dan kembali dengan kebingungan, kebuntuan dan kalah. Atau, jika dia enggan mengalah lalu menghunus ego dan keras kepalanya lalu menjawab itu dan ini, maka dia tidak akan lebih selain menyumbang sangkaan, teka – teki dan keraguan yang menambahkan sesat dan pesong manusia seluruhnya.

Itulah kehidupan 70 tahun kita yang penuh rahsia yang disirat kejap. Bayangkan bagaimana jika disumbat otak ini untuk memikirkan berjenisan lagi kehidupan lain yang berbilionan banyaknya di alam semesta ini. Yang lahir hari ini dan sedia mati esok seperti episod hidup sesetengah serangga yang merayap halus di bumi atau yang telah lahir wujud dan hidup semenjak jutaan tahun dulu dan entah bila hujung hayatnya akan menyembah lantai kematian. Bayangkan betapa terbebannya akal ini untuk memikirkan.

Berfikirlah berat – berat. Atau, berfikirlah ringan – ringan. Ah, kebanyakan manusia memilih jalan yang kedua. Enggan menerima kesukaran dalam kehidupan. FirmanNya: “Dan Kami tunjukkan manusia dua jalan. Maka dia enggan mendaki yang sukar.” – al Balad: 10-11

Sekarang, anda lihatlah pada manusia dan kehidupan. Ada seribu satu tafsiran mengenai kehidupan dan manusia memilih sesuka hati dan sekehendak mereka jugalah jika mahu menukarkannya pada bila – bila masa sahaja. Masing – masing ada pegangan, cara dan matlamat untuk dikejar sepanjang hidup sebelum mati itu tiba – tiba datang menyentap tanpa tawar – menawar dan belas kasihan lagi. Hidup adalah realiti yang mesti dikecapi dan mati adalah bagai hantu!

Mari melihat permainan manusia mengejar kelazatan hidup atau mari melihat manusia membina syurga sendiri. Jika mahu hidup mewah, wang dan harta adalah sandaran dan bekalan. Jika tidak, anda dibebani hutang lalu menjadi buruan dan ketakutan. Jika mahu kuat dan tersohor, kuasa adalah sandaran dan tongkat. Jika tidak, anda akan rebah dan terhina sekali. Jika mahu kedudukan dan dihormati, sokongan dan anak buah adalah sandaran dan tiang. Jika tidak, anda akan ditendang dan dicemuh.

Harta itu sedikit. Kuasa itu terhad. Sokongan itu akan hilang. Jika manusia merebuti harta, kuasa, kedudukan dan sokongan, mereka akan saling bertembungan, lalu wujudlah persengketaan dan peperangan. Syurga yang diidam, neraka yang terhidang.

FirmanNya: “Adakah manusia akan memiliki apa saja yang diidamkannya? ( Tidak ) Maka milik Allahlah akhirat dan dunia ini.” – al Najm: 24-25

Kehidupan di dunia ini terlalu kecil untuk dijadikan syurga. Ia terlalu besar pula untuk disusun atur dengan kehendak sendiri. Ia begitu jauh untuk menjadi milik kita. Dunia ini, kita dimiliki lebih mudah difahami daripada kita memiliki. Kita diumbang – ambing oleh satu ketentuan yang begitu teguh dan pasti.

Inilah hasil dan akibat ‘berfikirlah ringan – ringan’. Inilah hasil keseronokan, bersenda gurau dan bermain – main di sekeping papan di tengah – tengah lautan luas dan ganas. Kehidupan ini selalu saja memuntahkan laharnya yang kejam untuk membunuh segala harapan.

Tetapi lahar kehidupan tidak kejam mutlak. Ia memang membakar tetapi rupanya ia turut membajai kehidupan di depan. Ia rahsia dan bagai umur yang memanjangkan kehidupan untuk dihuni kebenaran dan kekudusan.

Manusia, daripada kesakitan yang dialami dan ujian yang ditempuhi akan turut dikurniai ruang, buah – buah dan masa untuk kembali berfikir. Merenung jauh dan jauh ke dalam. ‘Berfikirlah berat – berat’. Ia satu desakan yang tidak boleh ditolak mentah – mentah lagi. Ia lahir bersama kehidupan yang penuh rahsia dan hijab ini.

Manusia layak berfikir berat – berat. Ia bukan haiwan binatang untuk berfikir mudah – mudah dan ringan – ringan. Manusia bukan binatang yang hidup untuk memakan dan dimakan! Manusia hidup untuk menyumbang kepada kehidupan.

Akhirnya, manusia mula berfikir dan bercakap mengenai hakikat kehidupan. Manusia mencuba – cuba memerhati kehidupan dan apa yang mengelilinginya. Mereka mula mengesani kewujudan yang gagal disentuh panca indera, tetapi dikesan oleh hati, akal dan rasa. Ia mengesan tanda dan menanda kesan. Kesan menjadi begitu bernilai untuk mengenal hakikat.

Nasi lebih dikenal pada kesan kenyangnya, bukan putih lembutnya. Lembu lebih dikenal pada tanda tapak kaki dan tahinya, bukan wajah dan susuknya. Manusia lebih dikenali pada kesan akhlak dan ilmunya, bukan pada rupa paras dan jasadnya. Kesan adalah isi. Isi adalah hakikat. Hakikat itulah jawaban yang pasti betul.

Di sini, manusia tiba – tiba menemui satu kewujudan yang sedia wujud bersama kehidupan. Ia dikendong kehidupan dan kehidupan menjadi cantik jika dihiasinya. Malangnya, ia biasa saja dikotori atau ditinggalkan dek kegalakan dan kealpaan manusia.

Kewujudan itu adalah ugama. Tahukah anda bila ugama mencipta sejarah kewujudannya? Ya, ia wujud semenjak manusia dikesan kewujudannya. Bila? Manusia dan ugama akan saling bergandingan menjawabnya untuk kita.

Ugama bukan lahir dari akal. Akal itu melahirkan pemikiran. Agama bukan pemikiran. Ia datang dari luar akal. Ia didatangkan untuk membantu akal ketika akal buntu dan terdampar. Ia datang bersama komponennya yang di luar hasilan akal. Ia datang bersama perutusan nabi dan kitab, wahyu dan mukjizat serta makrifat dan alam ghaib. Ia bersifat perutusan daripada satu kuasa yang agong yang menguasai kehidupan alam raya.

Itulah ugama. Saya akan menulis mengenai kehidupan ini dan ugama ini. Selepas harta, kuasa, pangkat, wanita, kedudukan, kesihatan dan sokongan yang menjadi idaman, bagaimanakah jika kita mula melihat ugama sebagai idaman yang lebih baik daripada semua itu? Agama adalah manisan kehidupan. Marilah mengenal kehidupan melalui jalan ugama.

( Artike ini untuk kolum akhbar Siasah )