Kehidupan ini keajaibannya sungguh hidup, sentiasa segar dan begitu membuak-buak keinginannya untuk mempamerkan kehebatannya itu. Tahukah anda kepada siapakah dipamerkan keajaibannya itu? Kepada manusia bukan?

Adakah anda fikir bahawa dunia haiwan begitu asyik memperagakan belang mukjizatnya kepada alam tumbuhan? Atau, semesta langit dan segala isinya pula begitu menonjol-nonjolkan keajaibannya agar bumi, gunung-ganang dan lautan tersengih-sengih malu untuk berlumba-lumba menunjukkan kehebatan masing-masing pula?Tidak bukan?

Hakikatnya, tiada keajaiban apapun di antara sesama mereka. Mereka semua adalah satu. Alam yang menakjubkan akal manusia.

Interaksi kehidupan ini hanyalah dengan akal. Alam ini seluruhnya semacam begitu berpakat dan berkerja untuk menyerbu ke arah akal, lalu berusaha menggayakan segala-gala kemukjizatannya di hadapannya. Alam ini seolah-olah mahu akal mengakui keajaibannya, lalu tunduk berkata, alangkah hebatnya engkau wahai alam!

Begitulah kita manusia mengandaikan dengan akal kita tingkah laku alam dan kehidupan ini. Tetapi adakah benar begitu, bahawa alam raya ini seluruhnya bersatu padu berpakat mengarah kekuatannya kepada kita? Tidak bukan? Kerana, jika benar, sudah pastilah ia menunjukkan bahawa alam ini juga mempunyai akal untuk merancang sebagaimana kita juga merancang dengan akal kita. Adakah alam ini, segala juzuk dan komponennya memiliki akal? Ah, tidak bukan? Tidakkah akal hanyalah manusia sahaja yang memilikinya?

Justeru bagaimana alam ini berinteraksi dengan kita tanpa akal? Kemudian, adakah manusia telah tunduk dan kalah kepada alam dan kehidupan ini dek kekuatan dan kemukjizatannya? Tidak juga bukan? Bukankah manusialah yang merajai dan menguasai teraju alam raya ini? Bagaimana boleh manusia dikira kalah kepada alam ini sedangkan manusia telah membuktikan bahawa mereka telah berjaya mempergunakan segala isi alam ini untuk kesenangan dan keselesaan hidup mereka.

Nah, jika begitu, di sebalik keajaiban alam ini, ada lagi yang lebih menakjubkan berbanding mereka. Ya, akal itu lebih mukjizat daripada alam ini. Menakjubkan, manusia yang kerdil belum pernah lagi kalah kepada alam! Akal sungguh menakjubkan sekali.

Begitulah hebatnya ciptaan bernama akal. Tetapi malang lain pula menimpa pemilik akal ini. Di sebalik kekaguman terhadap diri sendiri, manusia gagal pula mengetahui bagaimana akal tiba-tiba wujud di dalam dirinya. Bagaiman dia begitu menguasai alam ini, tetapi dia tidak pernah pula boleh mendakwa bahawa dialah pemilik alam ini sebagaimana dia juga terpaksa akur bahawa akal pada dirinya itu bukanlah ciptaan dan miliknya jua.

Sekarang lihatlah suasana kelam yang menerjah manusia untuk mengenali alam dan kehidupan. Dalam kekuasaan akal, terpampang kelemahan dan kekerdilan akal yang memalukan sekali!

Dalam perbincangan lepas, anda telah tahu bahawa tiada lagi selepas akal untuk menafsirkan kehidupan dan menjawab segala kegelapan agung ini selain agama. Agama yang bermaksud maklumat dan khabar langsung daripada pencipta alam raya ini. Dalam erti, selepas alam ini tunduk kepada kekuasaan akal, akal pula tunduk pula kepada kekuasaan agama. Agama pemiliknya adalah Allah, pencipta segala.

Adakah anda ingin bertanya saya, siapa pula yang berkuasa ke atas Allah? Tidak perlu bukan? Bagaimana boleh ditaakulkan pencipta segala akan dikuasai pula oleh makhluk ciptaannya itu? Mustahil. Sekarang, agama datang dengan satu solusi dan jawaban yang memuktamadkan pencarian yang paling sukar.

Yang tinggal hanyalah pembuktian bahawa agama adalah benar-benar satu hakikat, bukan sekadar dakwaan dan dongengan semata-mata. Justeru di hadapan hanyalah dua persimpangan; samada agama itu bohong, maka manusia terus menerus tenggelam di dalam kegelapan yang berterusan mencari hakikat kehidupan, ataupun agama itu benar, maka manusia terpaksa tunduk kepada saranan agamanya. Tunduk sang abdi kepada kehendak tuannya adalah hakikat paling hakiki.

Justeru al Quran yang menjadi kitab terakhir dari langit kepada manusia, juga nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam yang menjadi utusan terakhir dari langit telah begitu tekun meyakinkan manusia dengan hujjah dan pembuktian yang pelbagai demi membenarkan dakwaan bahawa ugama adalah benar dan merupakan jawaban muktamad kepada pencarian yang menyeksakan.

Oleh kerana akal adalah raja yang diiktiraf kekuasaannya di dalam kehidupan raya ini, maka agama tidak datang kecuali untuk mencabar dan menundukkan akal agar tunduk jua kepada kekuasaan yang lebih tinggi iaitu Allah.

Justeru tidak beriman kepada Allah kecuali akal yang tunduk mengaku dan bersaksi secara sedar dan tahu bahawa Allahlah tuhan yang satu yang di tanganNya segala aturan alam. Selagi akal enggan tunduk, selagi itulah agamanya, jika dia mendakwa beragama, adalah bohong.

Di sinilah telah nyata sekali bahawa akal adalah tunjang kepada taklif dan ujian Allah ke atas manusia. Akal juga menjadi paksi yang berputar di sekelilingnya segala pergerakan alam. Alam ini menyanyikan lagu taklif Ilahi ke atas makhluknya bernama manusia. Semuanya secara semulajadi akur dan tunduk, sukarela atau secara paksa, kepada Allah sang pencipta segala. Allah menggerakkan seluruh alam raya untuk melorongkan jalan buat manusia mengenalNya dengan kekuatan akal yang memiliki kekuasaan dan keajaiban yang sungguh luar biasa itu.

Manusia pula dibiarkan untuk bebas hidup tanpa sekatan yang mengikat keinginannya untuk menguasai alam sekehendaknya. Ia dibiarkan untuk menentukan arah tuju hidupnya sendiri tanpa paksaan untuk tunduk kepada tuhannya. Sudah pasti, untuk menemui jalan yang benar, manusia berdepan kesukaran dan halangan yang terlalu banyak menghalang.

Tetapi kekuatan manusia adalah di luar upaya makhlukNya yang lain. Manusia dikurniai Akal untuk memandu kehidupan. Dengan perutusan para rasul dan al kitab, cukuplah sajian Allah untuk manusia mula memasuki medan ujian yang getir dan agung.

Manusia dibeban taklifkan dan diuji untuk menemui jalan menuju tuhannya dengan kekuatan akal yang dibekali cahaya al Quran dan al rasul. Hikmah Ilahiyah telah menentukan bahawa Allah menghijab diriNya daripada dikesani manusia kecuali melalui akal yang akan mengesan dan mengenali tuhannya melalui petunjuk-petunjuk Ilahi yang telah disediakan Allah kepada Allah untuk manusia di dunia ini.

Sekarang anda mestilah memahami bahawa; Pertama, Hidup ini adalah medan ujian ke atas manusia untuk menemui dan menyembah tuhannya secara sukarela. Kedua, seluruh makhluk kecuali manusia dan jin telah tunduk dan menyembah tuhan mereka secara semulajadi tanpa dibebankan dengan taklif dan ujian sebagaimana manusia. Ketiga, manusia tidak dapat mengenali tuhannya dengan pandangan mata kasar dan panca indera lainnya kerana ia adalah sebahagian daripada proses ujian Allah ke atasnya.

Keempat, manusia hanya mampu mengesan tuhannya melalui akal dan fitrah yang dimilikinya. Kelima, akal manusia pula, di dalam perjalanan mencari tuhannya akan dibantu oleh cahaya petunjuk al Quran. Keenam, manusia juga akan mengenali tuhannya melalui mukjizat yang berlaku ke atas para anbiya’ dan karamah para aulia’. Ketujuh, Alam ciptaan Allah dihadapkan ke hadapan manusia agar dengannya, mereka menyaksikan kewujudan, kekuasaan dan keagungan Allah sebagai tuhan yang mesti disembah.

Justeru anda kini semakin memahami hikmah kewujudan akal dan peranan besarnya di dalam hikmah kewujudan alam. Tanpa memerlukan ketekunan lain, anda sudah pun menemui keseronokan baru di dalam penerokaan memahami agama Islam iaitu betapa agama Islam dan akal bagaikan tercipta untuk hidup bersaudara!

(Artikel ini adalah untuk kolum ‘Agama dan Kehidupan’ akhbar Siasah)