Thursday, November 10, 2011

Tahap Kesedaran Solat Berjemaah Anak Muda Kita

http://pakdeazemi.files.wordpress.com/2010/04/sholat1.jpg

Minggu lepas saya singgah solat fardhu maghrib di sebuah surau di Taman Sri Serdang. Sebelum ini pun saya sekali-sekala singgah di surau itu.

Sungguhpun surau itu tidaklah besar tetapi saya tertarik dengan suasananya yang agak menenangkan hati dan jiwa. Ditambah lagi dengan suasana solat berjemaah dengan pelbagai bangsa asing yang saya kira pelajar-pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM).

Saya kira kebanyakan mereka datang dari negara Asia Barat dan Afrika – dengan tubuh mereka yang sasa dan tinggi dan kulit agak gelap. Ada yang sedikit cerah seperti bangsa Bangladesh dan Pakistan. Ataupun mereka datang dari negara-negara lain yang saya tidak dapat pastikan.

Tetapi yang jelas apabila tiba waktu solat terutama fardhu maghrib dan isyak, mereka beramai-ramai muncul dari arah sekeliling surau untuk mengerjakan solat berjemaah. Seakan-akan mereka tinggal atau menyewa di rumah-rumah berdekatan dengan surau itu.

Di dalam surau pula kelihatan mereka seperti sudah biasa atau tidak kekok berjemaah dengan orang-orang tempatan. Kehadiran mereka seperti dapat dan sudah diterima oleh masyarakat tempatan khususnya di surau itu.

Kehadiran mereka juga menjadikan sebahagian besar ruang solat surau itu terisi dan menambahkan lagi pahala serta berkat solat berjemaah kerana Allah s.w.t lebih menyukai akan solat berjemaah yang lebih ramai atau besar bilangannya.

Lihatlah pelbagai bangsa tidak kira dari mana mereka tetapi atas pegangan agama yang suci iaitu Islam yang dibawa oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w yang bertunjangkan dua kalimah syahadah amat mengambil berat tentang solat berjemaah.

Tetapi sayang di kalangan ahli-ahli jemaah tempatan, mereka adalah daripada golongan yang sudah berumur dan warga tua atau emas. Sementara anak-anak muda remaja tidak kelihatan melainkan beberapa pelajar sekolah tahap menengah.

Ke manakah pergi mereka anak-anak muda belia? Mungkin sahabat-sahabat mempunyai pandangan atau andaian sendiri mengenai senario ini. Cuma yang jelas dapat saya katakan bahawa tahap kesedaran akan kepentingan solat berjemaah di kalangan anak-anak muda kita masih rendah.

Saya berpendapat demikian kerana saya percaya antara sebab menjadi pendorong pelajar-pelajar asing mengambil berat akan solat berjemaah adalah tidak lain melainkan kesedaran tentang kepentingan akan solat berjemaah.

Kita patut bersyukur dengan nikmat iman dan Islam yang dikurniakan Allah s.w.t. Sebagai tanda kesyukuran kita hendaklah mengambil berat tentang solat berjemaah (khususnya sahabat lelaki) dengan mengajak, membimbing dan mendidik mereka yang dekat atau di bawah pimpinan kita agar mengambil berat terhadap solat fardhu secara berjemaah.

Semoga Allah s.w.t memberikan Taufik dan Hidayah agar sentiasa menjaga solat jemaah dengan istiqomah. Aamiin.

No comments: